Thursday, January 31, 2013

Manusia itu kejam!
Kalimah yang aku rasakan memang layak untuk dinobatkan kepada manusia yang terlalu bercita-cita tinggi.
Ini tentang sebuah cerita...


Wednesday, December 17, 2008

Cerita 1













Kisah anak-anak 5 Maju

Anak-anak ini adalah warisan bangsa. Permata yangmenjadi harapan ibu dan ayah.

Mereka tinggal di sebuah pulau yang indah. Sebuah pulau yang masih 'dara'. Walaupun tidak ada pusat membeli belah atau bangunan pencakar langit tetapi mereka hidup dengan gembira dalam dunia mereka. Mereka adalah anak-anak yang mematangkan aku sebagai seorang pendidik.

Pernah suatu hari aku cuba bertanya kepada anak-anak ini tentang cita-cita mereka. Sebenarnya ianya satu permainan - kotak misteri. Ianya adalah permainan yang mudah. Anak-anak ini diperdengarkan lagu "ayat-ayat cinta" dan aku akan hentikan lagu tersebut, anak yang memegang kotak akan menarik satu soalan dari kotak tersebut dan memberikan jawapan yang jujur. Memang jujur jawapan mereka. Jawapan itu membuatkan aku tersenyum yang kemudiannya membawa aku berfikir, " benarkah ini yang mereka impikan?"

Jawapan satu : Saya ingin jadi nelayan.
Jawapan dua : Saya ingin jadi jaga sekolah.
Jawapan tiga : Saya ingin jadi pemandu bas sekolah.
Jawapan empat : Saya ingin jadi bos.

Sebelum aku meneruskan cerita anak-anak ini, aku terkenangkan kisahku sewaktu kecil. Apabila ibu bertanya apakah cita-citaku, aku akan menyenaraikan seberapa banyak cita-cita yang aku tahu, doktor, jururawat, cikgu, peguam dan macam-macam. Pada ketika itu, cita-cita adalah dipengaruhi daripada ibubapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak. Tetapi, adalah ianya datang dari sudut hati seorang kanak-kanak?

Berbalik kepada cerita anak-anak 5 Maju. Mereka dibesarkan di sebuah perkampungan nelayan. Majoriti ibu mereka ialah suri rumah, ayah hampir 60 peratus adalah nelayan. Ada antara mereka merupakan anak yatim. Mungkin juga ada antara ibu bapa mereka hanya mendapat pendidikan sekolah rendah. Jadi, sejauh mana ruang pandang anak-anak ini terhadap masa depan? Selama 3 bulan aku belajar menjadi seorang pendidik, aku dapat rasa kesempitan dunia ruang penglihatan mereka. Duduk di pulau yang tidak ada pembangunan, laut adalah panorama yang biasa (luar biasa bagi aku yang berasal dari bandar besar), untuk keluar harus menaiki bot selama 45 minit, petang berbasikal dan singgah makan di warung ABC yang menjual laksa, laksa mee, beehoon sup....

Ulasan dari jawapan anak-anak ini,
"Saya ingin menjadi nelayan kerana ayah saya seorang nelayan. Nelayan boleh pergi ke laut, menangkap banyak ikan untuk dijadikan lauk di rumah."
"Saya ingin menjadi jaga sekolah kerana kerja jaga mudah. Duduk aje boleh dapat gaji."
"Saya ingin menjadi pemandu bas sekolah kerana boleh memandu bas. Duit banyak macam ayah Shakila."
"Saya ingin menjadi bos. Saya ingin menjadi orang kaya. Saya mahu semua orang bekerja untuk saya."

Sebagai seorang pendidik, aku telah cuba mengubah persepsi mereka. Selama 3 bulan aku terus memberi semangat dan pengharapan kepada mereka bahawa sebuah kejayaan bukan bergantung kepada cita-cita tetapi nawaitu. Aku bercerita, bersajak, berlakon, kadang-kadang membebel dan akhirnya aku menangis. Harapanku mereka akan berjaya bukan sekadar untuk mengejar cita-cita tetapi untuk sebuah perjalanan hidup yang panjang.